Blog

Lelaki Lebih Bijak dari Perempuan??

TERINGAT zaman persekolahan dulu, setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan, antara soalan yang sering dibangkit ialah sama ada pelajar lelaki atau perempuan yang mendapat nombor satu atau memperoleh markah tertinggi.

Tidak hairanlah, persaingan atau perbandingan antara gender terus diperkatakan meniti alam dewasa termasuk soal tahap kepintaran dan kecerdasan otak - siapa lebih pintar lelaki atau wanita? Sama seperti perbandingan dalam aspek lain antara lelaki dan wanita, soal siapa lebih pintar boleh dikatakan tidak mempunyai jawapan tepat. Secara amnya, tidak ada mekanisme yang adil bagi menentukan antara lelaki dan wanita, siapa lebih pintar, cerdas, bijak atau pandai. Ini kerana hakikatnya, piawaian kepintaran itu bersifat agak subjektif dan tidak dapat ditentukan dengan tepat dan adil.

Namun, kebanyakan laporan kajian pakar sains dan psikologi yang pernah disiarkan di media setakat ini nampaknya lebih memihak kepada lelaki. Bersandarkan piawaian tertentu (lebih menjurus kepada kebolehan kognitif), golongan lelaki dianggap lebih bijak daripada wanita.

Peringkat awal kajian yang membandingkan faktor jantina dengan kepintaran melalui ujian IQ yang dikendalikan pada awal abad ke-20 menunjukkan, jantina tidak mempengaruhi kepintaran seseorang manusia.

Pada tahun 1995, kajian LV Hedges and A Nowell menunjukkan wujudnya perbezaan signifikan dari segi statistik dalam purata IQ antara lelaki dan wanita menggunakan data yang pernah disiarkan dalam kajian tahun sebelumnya. Untuk beberapa ujian dalam kajian ini, pencapaian lelaki mengatasi wanita dalam pemahaman bacaan, kelajuan persepsi, dan perhubungan memori.

Beberapa kajian lain pada pertengahan 1990-an juga menunjukkan ada sedikit perbezaan dalam tahap IQ lelaki dan wanita.

Pada 1999, Prof Emeritus dalam bidang Psikologi di Universiti of Ulster, Ireland, Richard Lynn berkongsi analisis yang dilakukannya. Analisis itu menunjukkan purata IQ lelaki melebihi kira-kira tiga hingga empat mata daripada wanita. Seterusnya, beberapa kajian lanjutan yang dikendalikan beliau dan pakar lain juga turut menunjukkan kelebihan mata kepada jantina lelaki dalam tahap IQ.

Dalam kajian Lynn, beberapa fakta lain turut dibentangkan. Antaranya, nisbah antara lelaki dan wanita yang mempunyai IQ menghampiri tahap genius adalah 8 :1. Mungkin ini dapat menghuraikan mengapa dalam 110 sejarah Anugerah Nobel, hanya dua wanita pernah memenanginya untuk bidang fizik, empat dalam bidang kimia dan belum ada lagi wanita yang pernah memenangi pingat dalam bidang matematik.

Peningkatan IQ bagi remaja lelaki, mengatasi remaja perempuan bermula ketika usia mereka mencecah 16 tahun. Situasi yang menunjukkan pelajar wanita lebih berjaya daripada pelajar lelaki di universiti adalah disebabkan sistem pembelajaran yang berorientasikan peperiksaan serta penekanan terhadap kerja kursus yang mengiktiraf ketekunan berbanding kepintaran, memberi kelebihan kepada pelajar wanita. Apabila mencecah usia 21, pencapaian skor IQ lelaki lebih tinggi lima mata daripada wanita. 

Melihat dari pengertian kepintaran itu sendiri yang merangkumi kebolehan pemikiran, menyelesaikan masalah, kejuruteraan, pengetahuan am dan memori, lelaki mengatasi wanita. Namun, jika dilihat dalam skop yang lebih mendalam, wanita lebih hebat dalam pemikiran verbal, penguasaan bahasa asing dan ejaan.

Tidak dinafikan, cara hidup golongan lelaki membentuk kepintaran yang ada dalam diri mereka sejak zaman dulu lagi. Contohnya, di zaman purba, posisi sebagai pemburu dalam komuniti manusia menyebabkan lelaki terpaksa berdepan dengan situasi yang memerlukan kemahiran menyelesaikan masalah hampir setiap hari. Tanggungjawab penting yang digalas golongan lelaki masa kini juga membuatkan mereka memiliki pemikiran yang lebih tajam.

Saiz otak lelaki yang lebih besar daripada otak wanita turut dikaitkan sebagai faktor lelaki lebih pintar daripada wanita. Otak yang lebih besar dikatakan mempunyai lebih banyak isu yang boleh memproses maklumat.

Persoalan mengapa kebanyakan posisi atau jawatan tinggi dalam pelbagai organisasi dan bidang pula adalah lelaki boleh dikaitkan dengan kelebihan semula jadi lelaki. Antaranya, memiliki hormon testosteron yang tinggi, membuatkan daya saing dan motivasi untuk berjaya adalah lebih tinggi daripada wanita. Kejayaan, persaingan dan mengalahkan pencabar dianggap persoalan hidup dan mati bagi lelaki seperti ini.

Berbeza halnya dengan wanita yang sekuat manapun mereka mencuba, rata-ratanya sering tersangkut dengan tanggungjawab wanita sebagai isteri dan ibu. Namun, kelebihan yang dimiliki suatu jantina tidak seharusnya dijadikan modal untuk memandang rendah jantina yang satu lagi. Kelebihan bilangan lelaki pintar tidak bermakna semua yang bergelar wanita itu tidak pintar.

Perbandingan intelek perlu dilihat positif

PENSYARAH Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Khaidzir Ismail memberi pandangan bagaimana hasil kajian perbandingan kepintaran dengan jantina ini boleh dilihat secara positif.

Dr Khaidzir berkata, hasil kajian yang menunjukkan golongan lelaki lebih bijak daripada wanita sepatutnya dilihat secara menyeluruh, bukan cuma di ‘permukaannya’.

“Takrifan kebijaksanaan tidak sewajarnya diukur berdasarkan beberapa teori atau fakta sains saja tapi perlu juga mengambil kira aspek lain seperti sosial dan emosi.

“Jika tidak difahami sebaiknya, hasil kajian ini boleh mengundang kontroversi, sama ada membuatkan sesetengah lelaki menjadi ego (kerana disifatkan bijak) atau membuatkan sesetengah wanita merasa tercabar dan tidak berpuas hati apabila golongan lelaki dikatakan lebih bijak daripada mereka,” katanya kepada XY - Ikon Lelaki.

Kata Dr Khaidzir, pandai atau bijaksananya seseorang adalah subjektif dan boleh dinilai dari pelbagai sudut. Kebijaksanaan bukan hanya pada IQ (darjah kecerdasan) semata-mata, ia juga perlu mengambil kira dari segi EQ (darjah emosi), kreativiti dan pelbagai kebolehan lain.

“Sesetengah orang mungkin tidak begitu mahir dalam bidang yang sering dijadikan ukuran kebijaksanaan seperti sains dan matematik atau kebijaksanaan kognitif. Namun berkemahiran dalam bidang muzik, sastera, seni serta seni kreatif yang lain.

“Begitu juga sebaliknya, rata-rata individu yang mahir dalam sains dan matematik pula tidak berbakat dalam bidang seni. Justeru, menilai kebijaksanaan berdasarkan aspek IQ saja tidak mencukupi dan penilaian kebijaksanaan dari segi IQ semata-mata boleh disifatkan sebagai cara penilaian lama yang tidak sesuai dipraktikkan di zaman ini,” ujar beliau.

Dr Khaidzir berkata, baik lelaki atau wanita sewajarnya melihat kelebihan dan kelemahan kedua-dua jantina ini sebagai hikmah mengapa Tuhan mencipta lelaki dan wanita sebagai pasangan yang saling melengkapi.

Mengenai dominasi golongan lelaki dalam bidang kerjaya sains dan kejuruteraan yang membuatkan golongan ini dianggap sebagai lebih bijak daripada golongan wanita, Dr Khaidzir berpendapat penguasaan lelaki dalam bidang ini mungkin disebabkan kemahiran otak mereka yang lebih tertumpu kepada perkara analitikal dan teknikal.

“Suatu hikmah juga, golongan lelaki diberi kelebihan untuk melakukan kerja yang lasak seperti ini manakala wanita pula diberikan kemahiran dalam kerjaya yang memerlukan soft-skill.

“Hakikatnya, kebijaksanaan adalah suatu kelebihan yang sukar untuk ‘diselenggara’. Ia diibarat seperti kereta mewah yang memerlukan servis yang khusus dan alat ganti mahal.

Secara tidak langsung, ia menggambarkan bahawa agak sukar bagi golongan bijak untuk menyesuaikan diri dengan perkara yang dianggap biasa atau normal.

“Sebab itulah taburan orang bijak atau memiliki IQ tinggi cuma lima hingga 15 peratus saja. Kalau tidak, huru-haralah dunia ini,” katanya.

Perbezaan cara berfikir antara lelaki dan wanita

Otak manusia merangkumi dua jenis tisu iaitu tisu kelabu dan tisu putih. Kajian menunjukkan lelaki lebih banyak berfikir menggunakan tisu kelabu manakala wanita lebih banyak berfikir menggunakan tisu putih. Bagaimanapun, cara berfikir yang berbeza ini tidak mempengaruhi pencapaian intelektual mereka.

Secara amnya, lelaki mempunyai hampir 6.5 kali jumlah tisu kelabu yang berkaitan dengan kepintaran berbanding wanita manakala wanita mempunyai hampir 10 kali lebih tisu putih berbanding lelaki.

Dalam otak manusia, tisu kelabu bertindak sebagai pusat pemprosesan maklumat, manakala tisu putih bertindak sebagai jaringan bagi ‘pusat pemprosesan’ ini.

Ini mungkin dapat menghuraikan mengapa lelaki dan wanita boleh berjaya dalam tugasan yang berbeza. Sebagai contoh, lelaki lebih bagus dalam tugasan yang memerlukan pemprosesan setempat seperti matematik manakala wanita lebih bagus dalam menyepadu dan ‘mencernakan’ maklumat daripada bahagian tisu kelabu otak. Ini secara tidak langsung membantu mereka menguasai kemahiran bahasa.

Lelaki dan wanita menggunakan dua pusat aktiviti otak dan laluan neurologikal membuatkan mereka menunjukkan prestasi yang agak setara dalam pelbagai kebolehan kognitif seperti ujian kepintaran. 

1 comments: