Merdeka Juga Bebas Daripada Koruptor


Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaan selama 58 tahun dan tarikh keramat 31 Ogos pula diangkat sebagai Hari Kemerdekaan Negara Malaysia. Namun, rakyat Malaysia masih belum terlepas daripada belenggu penjajahan koruptor di Tanah Air. Sedangkan sudah hampir 6 dekad kita mencapai kemerdekaan negara daripada kolonial British namun kita tetap masih dijajah oleh koruptor.

Kolonial British dulu menjarah hasil kekayaan negara jajahan dan dibawa pulang ke negara mereka; menjadikan negara jajahan dibiarkan miskin. Koruptor pula menjadikan rakyat dan negara dijajah atas nama kekuasaan. Segala hasil dan kekayaan negara pula tidak diagihkan sama rata kepada rakyat sehingga rakyat dijajah oleh kemiskinan. Ironinya, kroni dan keluarga koruptor kaya-raya dan bersenang-lenang dengan hasil kekayaan negara.

Kolonial British mengenakan pelbagai jenis cukai kepada rakyat di negara jajahan. Daripada cukai tanah, cukai bercucuk-tanam sehinggalah ke cukai perniagaan bagi menambah pendapatan mereka untuk mengurus dan mentadbir negara jajahan. Koruptor juga mengenakan pelbagai jenis cukai kepada rakyatnya sendiri. Daripada cukai pendapatan, GST sehinggalah ke cukai kenderaan, malah dikenakan pula TOL kepada pengguna lebuh raya bagi memastikan mereka terus melakukan pemborosan dan pembaziran dalam mengurus dan mentadbir negara.

Kolonial British mengenakan hukuman sesiapa sahaja yang tidak senada dan bersetuju dengan pemerintahan mereka. Penentang kenakan hukuman daripada penjara, buang negeri sehinggalah kepada hukuman bunuh kepada penentang. Malah orang yang menuntut hak mereka pula dianggap sebagai pengkhianat Kerajaan British. Koruptor juga mengenakan hukuman kepada penentang mereka. Dikenakan hukuman daripada ISA, Akta Hasutan, Akta Media Cetak dan apa jua akta yang digubal bagi meneruskan penguasaan mereka terhadap rakyat jelata. Menentang koruptor dianggap sebagai pengkhianat negara.

Walaupun terlepas daripada cengkaman penjajahan asing, namun kita tetap masih dijajah oleh koruptor. Mereka memiskinkan dan mengambil hak kita. Jadi, apa bezanya mereka ini dengan penjajah kolonial British? Cuma penjajahan oleh koruptor ini agak licik. Para koruptor menjual nama bangsa dan agama ini dianggap pula sebagai pemimpin yang mengedepankan kesejahteraan rakyat dan negara. Menentang koruptor pula dianggap pengkhianat kepada bangsa dan negara.

Bahkan mereka juga berlakon dan berwayang kulit melantik pemimpin anti rasuah sebagai menteri. Mereka menggubal akta anti rasuah bagi mengaburi mata rakyat bagi menampakkan mereka ini bersih dan penuh integriti sedangkan mereka ini penuh dengan kourpsi dan salah guna kuasa.

Justeru itu, kita harus bertanya kepada diri kita. Merdekakah kita jika kita dinafikan untuk mengekpresikan pendapat yang berbeza dengan para koruptor? Merdekakah kita jika kita terus disekat kebebasan kerana ianya dianggap menggugat koruptor? Merdekakah kita jika terus dimiskin demi kekayaan para koruptor? Merdeka kah kita?

Kemerdekaan ini bukan sahaja bebas daripada cengkaman penjajahan luar, namun kemerdekaan ini juga bebas daripada koruptor yang memiskinkan kita dan merampas kebebasan kita. Dirgahayu Malaysia. 


 
Powered by Themes24x7
Copyright © 2014 Wandy